mhazim blog

Succes Begin From Zero

Selamat datang ke mhazim blog dimana terdapatnya informasi mengenai kesenian, kehidupan dan juga pelbagai isu semasa dari segala perspektif


Nasib pelukis tersohor...




PADA 14 Julai 1995, Datuk Mohd. Hoessin Enas meninggal dunia. Seperti biasa, rakyat negara ini tidak pernah berkabung untuk pemergian seorang pelukis. Simpati dan rasa kehilangan hanya datang daripada teman-teman seperjuangan dan keluarga. Hakikat kehidupan. Saksi bisu daripada jasa seorang pelukis hanyalah karya-karya yang ditinggalkan. Terlalu sulit untuk mencari lebih daripada itu. Mohd. Hoessin sama seperti pelukis dunia lainnya. Rambrandt Harmenszoon Van Rijn, Diego Velazquez, Sendro Botticelli, Anthony Van Dyck, Francisco de Goya dan puluhan lagi, mereka diingati dunia kerana karya-karya agung masing-masing.


Karya-karya Rambrandt misalnya Christ in the Storm on the Lake of Galilee (1633), Portait of Jan Six (1654) dan Susanna and the Elders (1647) dianggap sebagai khazanah seni yang tidak ternilai. “Jasa seorang penyair atau pelukis hanyalah puisi dan kanvas. Jangan harap lebih daripada itu. Anda tidak akan menemukan apa-apa” kata penyair Charles Baudelaire. Mungkin tanggapannya benar. Dalam sejarah seni catan sejak era Renaisans (Renaissance) tidak banyak pelukis yang menghasilkan sesuatu yang lebih daripada karya kanvas. Pelukis Itali, Leonardo da Vinci mungkin insan istimewa. Beliau tidak hanya melukis tetapi mencipta pelbagai barangan lain. Antaranya gunting yang digunakan meluas oleh masyarakat dunia hari ini. Tetapi tidak yang lain. Cuma mungkin boleh dicatat ialah beberapa kisah menarik di sekitar mereka. Van Gogh memotong telinganya sendiri. Amedeo Modigliani tidak mengambil makanan dalam tempoh yang lama semata-mata untuk ‘menghayati’ makna sebenar sebuah seni catan. Pablo Piccaso pula hidup bersendirian hingga ke akhir hayatnya. Kadang-kadang kegilaan itu terlalu ekstrem. Baudelaire dalam puisinya Mon coeur mis a nu berpendapat kelompok manusia terbaik di dunia hanya penyair dan orang seni, ahli agama serta tentera. Selebihnya adalah sampah yang perlu dibuang. Namun, catatan-catatan itu hanya merupakan sedikit asam garam dalam sejarah seni catan dunia yang berlegar di sekitar kehidupan pelukis-pelukisnya.


Tidak ada satu pun catatan tentang keanehan dalam sejarah seni Mohd. Hoessin sejak tiba ke negara ini pada 1947 (beliau dilahirkan di Bogor, Indonesia pada 1924). Beliau menumpahkan sepenuh jiwa dan raganya untuk membina seni tampak di negara ini. Di tangannya berdiri Majlis Kesenian Melayu yang kemudian dikenali sebagai Angkatan Pelukis Semenanjung (APS) pada 1956. Objektif utamanya ialah memperjuangkan nasib semua pelukis di negara ini selain menjadi medium penghubung antara golongan itu dengan kerajaan. Di samping itu, APS juga bertujuan untuk memperluaskan konsep dan pendekatan dalam seni catan realisme yang menampilkan identiti Melayu. Tidak dinafikan, pengaruh seni tampak Barat masih menebal terutama pada dekad pasca merdeka. Tetapi itu ketika Mohd. Hoessin masih ada. Kenyataannya kini tidak ada sebuah persatuan aktif yang menggabungkan seluruh pelukis tanah air di bawah satu bumbung.


Dalam sastera, ada Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan teater ada Majlis Teater Kebangsaan (Tema). ‘Robinson Cruise’ itu terpaksa bergerak sendiri untuk memasar atau mempromosi karya masing-masing. Nasib mungkin sedikit terbela dengan adanya Balai Seni Lukis Negara (BSLN) dan galeri-galeri swasta. Tetapi sampai bila? Perjuangan Mohd. Hoessin dan teman seperti Mazeli Mat Som, Zakaria Noor serta beberapa lagi pengasas APS seolah-olah usaha yang sia-sia. Tidak ada pihak yang mahu terus mempertahankan kewujudannya demi masa depan pelukis tanah air. Nasib pelukis-pelukis tanah air itu sama seperti kisah seorang raja yang bersendirian di planet kecil dalam novel Le Petit Prince karya Antoine de St. Exupery. Raja berkenaan meminta seorang manusia lain untuk hadir. Baginda tidak mungkin terus bertakhta tanpa rakyat, tanpa sebuah struktur negara.


--sumber,utusan malaysia--

0 comments: