mhazim blog

Succes Begin From Zero

Selamat datang ke mhazim blog dimana terdapatnya informasi mengenai kesenian, kehidupan dan juga pelbagai isu semasa dari segala perspektif

MENGAPA MANUSIA MELUKIS ?:
JAWAPAN DARI EMPAT TEORI

Apabila ditanya mengapa melukis pelukis akan memberi pelbagai jawapan. Jawapan mungkin berbeza. Ada yang melukis kerana seronok melukis semata-mata. Ada yang ingin meluahkan perasaan. Ada yang ingin mengatakan sesuatu mengenai sesuatu dan sebagainya. Apa pun jawapan yang diberi sebenarnya jawapan-jawapan ini menjurus kepada pernyataan dalam empat teori berikut iaitu:

Teori Mimetik
Mengikut teori ini pelukis melukis bagi tujuan merekod. Lukisan yang terangkum dalam teori ini banyak dihasilkan sebelum kamera dicipta. Malah ia boleh dikesan semenjak lukisan purba di dinding Gua Altamera. Lukisan-lukisan jenis ini seratus peratus bersifat realisme dari lukisan potret, lanskap, lukisan peristiwa sehinggalah kepada lukisan-lukisan ilustrasi dalam buku-buku dan berbagai penerbitan. Banyak lukisan-lukisan jenis ini yang dihasilkan pada silam memberi manfaat kepada manusia masa kini. Tanpa lukisan-lukisan lama yang masih tersimpan pada masa kini manusia sekarang tidak dapat menilai persekitaran generasi mereka pada masa dahulu.

Teori Pragmatik
Kalau mengikut teori mimetik artis melukis bagi tujuan catatan atau rekod lain pula lukisan yang dihasilkan mengikut teori pragmatik. Mengikut teori ini manusia melukis kerana bertujuan mengkritik pihak lain atau mengkritik masyarakat. Maksud mengritik ialah menyindir, menyinis, menghentam dan sebagainya. Selain dari penulis, pelukis juga mampu menyatakan sesuatu perasaan tidak puas hatinya terhadap pihak lain atau masyarakat keleliling melalui karyanya. Contoh, cuba rujuk lukisan Breakfast on The Grass oleh Manet. Dalam lukisan ini didapati Manet mengkritik golongan bangsawan dan hartawan melalui lukisannya mengenai sikap golongan bangsawan dan hartawan yang menggunakan kedudukan mereka mengeksploitasi rakyat miskin untuk memuaskan nafsu mereka. Teori ini sebenarnya menyangkal dakwaan kononnya setengah pelukis suka berkhayal dan membuang masa.

Teori Ekspresif
Teori ekspresif lebih beroriantasikan pelukis di mana pelukis melukis bertujuan semata-mata untuk melepaskan perasaannya. Dalam hal ini dia tidak memikirkan hal orang lain. Antara contoh pelukis yang pernah melukis berlandaskan teori ini ialah Publo Piccaso. Selain sebagai artis Piccaso dikatakan juga seorang kaki perempuan. Apabila beliau tidak puas hati atau marah terhadap kekasihnya Piccaso dikatakan suka melepaskan perasaannya di atas kanvas dengan melukis imej kekasihnya dengan penuh lucah dan hodoh. Picccaso dikatakan pernah melukis 85 keping lukisan wanita dalam keadaan sangat lucah dalam masa seminggu. Tidak ada apa-apa tujuan dia melukis lukisan-lukisan itu selain semata-mata untuk melepaskan geramnya terhadap kekasihnya. Sila rujuk salah satu lukisannya yang bertajuk Nude on The Cushion.

Mengikut teori ini perasaan yang dilepaskan bukan semata-mata perasaan marah atau geram seperti Piccaso tadi. Ia boleh juga berbentuk perasaan melankoli, rindu, gembira sedih, sayu, dan sebagainya. Atau kita mungkin ingin menceritakan sesuatu mengenai sesuatu mengikut cara kita sendiri.

Teori Objektif
Teori ini mengatakan ada pelukis yang melukis untuk menikmati keindahan lukisan itu semata-mata. Teori ini juga lebih berorientasikan pelukis itu sendiri. Monet tergolong sebagai artis yang gemar aliran impressionisme. Lanskap adalah sebahagian subjek lukisannya. Tetapi lanskapnya bukan seratus peratus realistik. Kerana beliau terlalu impress dengan apa dilihat di sekelingnya menjadikan beliau suka melukis subjek-subjeknya lebih indah dari keadaan sebenarnya. Sila rujuk lukisannya Poppy Field. Lukisan ini bukan dilukis bagi tujuan merekod ladang popi tetapi Monet sangat tertarik dengan keindahan bunga popi yang kemerahan dan segar.


Dari teori-teori di atas kita kini boleh melihat di mana kita sebenarnya berada. Sebab itu kita tidak boleh memperkecilkan artis lain disebabkan aliran dan stail mereka tidak sama dengan aliran dan stail kita. Seorang realist tidak boleh menidakkan seorang pelukis abstrak atau sebaliknya. Ini adalah kerana apa yang dilukis oleh sesorang ada sebab dan tujuannya. Kita tidak perlu tanya kenapa dia melukis kerana dari lukisannya kita akan tahu kenapa dia melukis.

--sources,www.myarthost.com--


Nasib pelukis tersohor...




PADA 14 Julai 1995, Datuk Mohd. Hoessin Enas meninggal dunia. Seperti biasa, rakyat negara ini tidak pernah berkabung untuk pemergian seorang pelukis. Simpati dan rasa kehilangan hanya datang daripada teman-teman seperjuangan dan keluarga. Hakikat kehidupan. Saksi bisu daripada jasa seorang pelukis hanyalah karya-karya yang ditinggalkan. Terlalu sulit untuk mencari lebih daripada itu. Mohd. Hoessin sama seperti pelukis dunia lainnya. Rambrandt Harmenszoon Van Rijn, Diego Velazquez, Sendro Botticelli, Anthony Van Dyck, Francisco de Goya dan puluhan lagi, mereka diingati dunia kerana karya-karya agung masing-masing.


Karya-karya Rambrandt misalnya Christ in the Storm on the Lake of Galilee (1633), Portait of Jan Six (1654) dan Susanna and the Elders (1647) dianggap sebagai khazanah seni yang tidak ternilai. “Jasa seorang penyair atau pelukis hanyalah puisi dan kanvas. Jangan harap lebih daripada itu. Anda tidak akan menemukan apa-apa” kata penyair Charles Baudelaire. Mungkin tanggapannya benar. Dalam sejarah seni catan sejak era Renaisans (Renaissance) tidak banyak pelukis yang menghasilkan sesuatu yang lebih daripada karya kanvas. Pelukis Itali, Leonardo da Vinci mungkin insan istimewa. Beliau tidak hanya melukis tetapi mencipta pelbagai barangan lain. Antaranya gunting yang digunakan meluas oleh masyarakat dunia hari ini. Tetapi tidak yang lain. Cuma mungkin boleh dicatat ialah beberapa kisah menarik di sekitar mereka. Van Gogh memotong telinganya sendiri. Amedeo Modigliani tidak mengambil makanan dalam tempoh yang lama semata-mata untuk ‘menghayati’ makna sebenar sebuah seni catan. Pablo Piccaso pula hidup bersendirian hingga ke akhir hayatnya. Kadang-kadang kegilaan itu terlalu ekstrem. Baudelaire dalam puisinya Mon coeur mis a nu berpendapat kelompok manusia terbaik di dunia hanya penyair dan orang seni, ahli agama serta tentera. Selebihnya adalah sampah yang perlu dibuang. Namun, catatan-catatan itu hanya merupakan sedikit asam garam dalam sejarah seni catan dunia yang berlegar di sekitar kehidupan pelukis-pelukisnya.


Tidak ada satu pun catatan tentang keanehan dalam sejarah seni Mohd. Hoessin sejak tiba ke negara ini pada 1947 (beliau dilahirkan di Bogor, Indonesia pada 1924). Beliau menumpahkan sepenuh jiwa dan raganya untuk membina seni tampak di negara ini. Di tangannya berdiri Majlis Kesenian Melayu yang kemudian dikenali sebagai Angkatan Pelukis Semenanjung (APS) pada 1956. Objektif utamanya ialah memperjuangkan nasib semua pelukis di negara ini selain menjadi medium penghubung antara golongan itu dengan kerajaan. Di samping itu, APS juga bertujuan untuk memperluaskan konsep dan pendekatan dalam seni catan realisme yang menampilkan identiti Melayu. Tidak dinafikan, pengaruh seni tampak Barat masih menebal terutama pada dekad pasca merdeka. Tetapi itu ketika Mohd. Hoessin masih ada. Kenyataannya kini tidak ada sebuah persatuan aktif yang menggabungkan seluruh pelukis tanah air di bawah satu bumbung.


Dalam sastera, ada Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan teater ada Majlis Teater Kebangsaan (Tema). ‘Robinson Cruise’ itu terpaksa bergerak sendiri untuk memasar atau mempromosi karya masing-masing. Nasib mungkin sedikit terbela dengan adanya Balai Seni Lukis Negara (BSLN) dan galeri-galeri swasta. Tetapi sampai bila? Perjuangan Mohd. Hoessin dan teman seperti Mazeli Mat Som, Zakaria Noor serta beberapa lagi pengasas APS seolah-olah usaha yang sia-sia. Tidak ada pihak yang mahu terus mempertahankan kewujudannya demi masa depan pelukis tanah air. Nasib pelukis-pelukis tanah air itu sama seperti kisah seorang raja yang bersendirian di planet kecil dalam novel Le Petit Prince karya Antoine de St. Exupery. Raja berkenaan meminta seorang manusia lain untuk hadir. Baginda tidak mungkin terus bertakhta tanpa rakyat, tanpa sebuah struktur negara.


--sumber,utusan malaysia--